Thursday, May 7, 2009

Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI)

Seperti yang disebutkan, Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) adalah ukuran yang digunakan bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana kejayaannya dalam memenuhi matlamat organisasinya. KPI adalah salah satu dari bahagian utama objektif yang boleh diukur yang terdiri daripada hala tuju, KPI, tanda aras, sasaran dan jangka masa pencapaian.

Misalnya KPI seorang guru sains adalah “untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar (BBM) yang disediakan dan Bayaran Insentif Subjek Pembelajaran (BISP) ke tahap 100 peratus agar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dalam bahasa Inggeris dalam kelas dapat dinaikkan ke tahap 70 peratus menjelang tahun 2010”. Dalam contoh ini, meningkatkan P&P dalam bahasa Inggeris ke tahap 70 peratus dan penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar dan BISP ke tahap 100 peratus adalah KPI nya.

Meningkatkan tahap P&P dalam bahasa Inggeris bukan perkara yang sukar dicapai oleh guru tersebut kerana ia adalah di bawah kawalannya. Jika ada pun hambatan bagi mencapai KPI tersebut, ia mungkin disebabkan oleh perbezaan tahap kefahaman murid di dalam kelas. Ada kalanya bukan guru yang tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris secara sepenuhnya di dalam kelas, tetapi mereka terpaksa menyesuaikan P&P dengan tahap keupayaan murid. Walaupun mahir berbahasa Inggeris, ada kala guru perlu mengurangkan peratus Penggunaannya di dalam P&P jika didapati ada murid yang ketinggalan. Sebaliknya KPI untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian dan BBM berbeza. Ia tidak berada di dalam kawalan guru semata-mata tetapi berkait dengan KPI beberapa pihak yang lain.
Contohnya dalam mencapai KPI dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) fasa VI, guru perlu menunggu sehingga perkakasan (komputer bimbit, projektor), perisian dan BBM (pakej latihan kendiri) dibekalkan serta latihan yang bersesuaian disempurnakan.

Ini bermaksud jika KPI guru sains tersebut perlu dicapai pada bulan Februari 2008, maka perkakasan, perisian, BBM dan latihan perlu disediakan beberapa bulan lebih awal sebelum itu. Di sini, KPI seorang guru sains tidak lagi bergantung pada dirinya sahaja, tetapi juga bergantung kepada keupayaan pegawai-pegawai bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan menepati KPI masing-masing, terutamanya dari segi pelaksanaan perolehan perkakasan yang berkaitan serta penyediaan perisian dan kepakaran latihan. Jika pegawai di bahagian-bahagian ini tidak dapat melaksanakan tugas perolehan ini dalam tempoh masa seperti yang ditetapkan dalam KPI, maka guru di sekolah juga akan gagal menepati KPInya. Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa KPI digunakan untuk menilai prestasi bukan sahaja Menteri dan Timbalan Menteri, tetapi juga pegawai kanan kerajaan. Maka dalam hal ini mungkin ada kewajaran bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersegera meneliti dan membangunkan KPI pegawai-pegawai kanan di kementerian-kementerian secara objektif dan bermakna.

Pelaksanaan projek di peringkat kementerian tidak seharusnya dilihat hanya sebagai soal proses, prosedur atau sistem penyampaian sahaja. Ia wajar dilihat sebagai amanah yang dipikul oleh pegawai kanan kerajaan untuk menambah aliran tunai dalam kitaran ekonomi seterusnya merancakkan ekonomi negara. Lebih utama lagi, ia dilihat sebagai amanah yang perlu dilunaskan untuk memastikan anak-anak kita menerima hak mereka memperoleh ekuiti dan kualiti dalam pendidikan. Dalam hal ini, ia bukan sekadar soal pelaksanaan projek dan meransang ekonomi semata-mata, tetapi soal pembangunan modal insan dan masa depan negara.

No comments:

Post a Comment