Friday, May 22, 2009

Berapa banyak anak lipas dalam 1 telur?


10 Laluan Yang Bakal Dilalui Oleh Manusia Dari Dunia Sampai Akhirat

Bagaimana memudahkannya?

LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan kadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula kadha' (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati

LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH

LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM
a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD
a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S. a. w.

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

dan 1 lagi 10 peringatan BUMI kepada kita semua :
Berkata Anas Bin Malik r. a;Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.
1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.
2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.
3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.
4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.
5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.
6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.
7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.
8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.
9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.
10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

Thursday, May 7, 2009

Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI)

Seperti yang disebutkan, Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) adalah ukuran yang digunakan bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana kejayaannya dalam memenuhi matlamat organisasinya. KPI adalah salah satu dari bahagian utama objektif yang boleh diukur yang terdiri daripada hala tuju, KPI, tanda aras, sasaran dan jangka masa pencapaian.

Misalnya KPI seorang guru sains adalah “untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar (BBM) yang disediakan dan Bayaran Insentif Subjek Pembelajaran (BISP) ke tahap 100 peratus agar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dalam bahasa Inggeris dalam kelas dapat dinaikkan ke tahap 70 peratus menjelang tahun 2010”. Dalam contoh ini, meningkatkan P&P dalam bahasa Inggeris ke tahap 70 peratus dan penggunaan perkakasan, perisian, bahan bantu mengajar dan BISP ke tahap 100 peratus adalah KPI nya.

Meningkatkan tahap P&P dalam bahasa Inggeris bukan perkara yang sukar dicapai oleh guru tersebut kerana ia adalah di bawah kawalannya. Jika ada pun hambatan bagi mencapai KPI tersebut, ia mungkin disebabkan oleh perbezaan tahap kefahaman murid di dalam kelas. Ada kalanya bukan guru yang tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris secara sepenuhnya di dalam kelas, tetapi mereka terpaksa menyesuaikan P&P dengan tahap keupayaan murid. Walaupun mahir berbahasa Inggeris, ada kala guru perlu mengurangkan peratus Penggunaannya di dalam P&P jika didapati ada murid yang ketinggalan. Sebaliknya KPI untuk meningkatkan tahap penggunaan perkakasan, perisian dan BBM berbeza. Ia tidak berada di dalam kawalan guru semata-mata tetapi berkait dengan KPI beberapa pihak yang lain.
Contohnya dalam mencapai KPI dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) fasa VI, guru perlu menunggu sehingga perkakasan (komputer bimbit, projektor), perisian dan BBM (pakej latihan kendiri) dibekalkan serta latihan yang bersesuaian disempurnakan.

Ini bermaksud jika KPI guru sains tersebut perlu dicapai pada bulan Februari 2008, maka perkakasan, perisian, BBM dan latihan perlu disediakan beberapa bulan lebih awal sebelum itu. Di sini, KPI seorang guru sains tidak lagi bergantung pada dirinya sahaja, tetapi juga bergantung kepada keupayaan pegawai-pegawai bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan menepati KPI masing-masing, terutamanya dari segi pelaksanaan perolehan perkakasan yang berkaitan serta penyediaan perisian dan kepakaran latihan. Jika pegawai di bahagian-bahagian ini tidak dapat melaksanakan tugas perolehan ini dalam tempoh masa seperti yang ditetapkan dalam KPI, maka guru di sekolah juga akan gagal menepati KPInya. Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa KPI digunakan untuk menilai prestasi bukan sahaja Menteri dan Timbalan Menteri, tetapi juga pegawai kanan kerajaan. Maka dalam hal ini mungkin ada kewajaran bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersegera meneliti dan membangunkan KPI pegawai-pegawai kanan di kementerian-kementerian secara objektif dan bermakna.

Pelaksanaan projek di peringkat kementerian tidak seharusnya dilihat hanya sebagai soal proses, prosedur atau sistem penyampaian sahaja. Ia wajar dilihat sebagai amanah yang dipikul oleh pegawai kanan kerajaan untuk menambah aliran tunai dalam kitaran ekonomi seterusnya merancakkan ekonomi negara. Lebih utama lagi, ia dilihat sebagai amanah yang perlu dilunaskan untuk memastikan anak-anak kita menerima hak mereka memperoleh ekuiti dan kualiti dalam pendidikan. Dalam hal ini, ia bukan sekadar soal pelaksanaan projek dan meransang ekonomi semata-mata, tetapi soal pembangunan modal insan dan masa depan negara.

PETIKAN DARI UTUSAN

Sistem pendidikan Malaysia perlu kembali kepada amalan asas
OLEH BORHAN ABU SAMAH (from Jakarta)

KETIKA penulis belajar di sekolah rendah dahulu, guru-guru sering menyuruh murid-murid membaca petikan atau karangan bahasa Malaysia di depan kelas. Seorang demi seorang.
Begitu juga dengan mata pelajaran lain seperti menyelesaikan masalah Matematik dan membaca hafalan ayat-ayat al-Quran. Semuanya dibuat di depan kelas.

Bagaimanapun, pada masa ini amalan seperti itu tidak lagi berlaku dan alasannya mudah. Terlalu ramai murid di dalam sesebuah kelas dan jika itu diamalkan, sudah pasti ia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesuatu topik. Jika gagal menghabiskan semua topik sebelum peperiksaan, ia akan memberi kesan kepada persiapan pelajar dan sekali gus keputusan peperiksaan juga merosot.

Begitulah terkongkongnya pelajar kita di Malaysia dengan sistem pendidikan yang berasaskan peperiksaan sehingga setiap program yang dilakukan oleh sekolah hanya bertitik tolak soal peperiksaan. Ia membuatkan usaha membentuk sahsiah pelajar terpinggir. Bagaimanapun penulis terkejut apabila kaedah seperti itu masih dipraktikkan di Indonesia. Anak-anak penulis yang belajar di sebuah sekolah agama persendirian di Jakarta, setiap hari membuat persiapan untuk membaca di depan kelas walaupun masih di peringkat sekolah rendah. Pada mulanya mereka kelihatan begitu gugup untuk berdepan dengan rakan sekelas, maklumlah ia jarang dilakukan ketika belajar di Malaysia, tetapi lama-kelamaan keyakinan mereka semakin meningkat.

Kini dalam tempoh singkat mereka sudah biasa membaca di depan kelas, malah cukup tidak sabar bila ada aktiviti pembentangan atau persembahan di depan kelas. Mereka juga berkumpul bersama rakan-rakan untuk merancang bentuk persembahan atau pembentangan yang akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dalam suasana ceria.
Rupa-rupanya membaca di depan kelas itulah asas kepada membentuk keyakinan diri bagi membuat pembentangan yang lebih besar ketika di peringkat universiti, mahupun ketika bekerja.

Bagaimanapun ia semakin tidak dipraktikkan di sekolah-sekolah di negara kita.
Jadi apabila mengetahui Kementerian Pelajaran mahu membuat satu transformasi ke atas sistem pendidikan negara pada tahun depan, penulis terfikir kembali perkara asas tersebut.
Amalan yang diterapkan oleh guru-guru dahulu perlu digunakan kembali di sekolah bagi meningkatkan keyakinan pelajar. Mungkin ia dilihat terlalu remeh tetapi mempunyai kesan yang mendalam bagi membentuk sahsiah dan keyakinan pelajar. Satu lagi insiden menarik ialah apabila anak-anak penulis dengan bangga menunjukkan wang kertas "Ringgit Malaysia", tibatiba salah seorang rakan mereka bertanya gambar apa dan siapakah yang tertera pada semua wang berkenaan.

Sekali lagi anak penulis gagal memberi jawapan yang pasti, berbanding rakan-rakan di Jakarta. Mereka dapat memberi penjelasan mengenai setiap gambar yang terpapar pada setiap wang kertas Indonesia kerana ia turut dipelajari di sekolah. Ini bermakna pendidikan kita terlalu luas skopnya sehingga kita gagal menerapkan pengetahuan persekitaran kepada pelajar.
Bagi pelajar di Jakarta, mereka perlu belajar mata pelajaran khusus tentang Jakarta. Begitu juga bagi pelajar di kawasan lain, mereka akan belajar tentang bandar-bandar utama di kawasan mereka. Pelajaran berkenaan memberi pendedahan terhadap apa yang ada di persekitaran mereka, termasuk lokasi menarik atau tumpuan di kawasan setempat serta sejarahnya.
Pelajaran berkenaan tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah, tetapi mereka perlu melawat dan melihat apa yang dipelajari melalui rombongan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Jadi tidak hairan jika setiap hari pasti ada sahaja ratusan murid-murid sekolah rendah melawat Muzium Nasional (Monas) di Jakarta dan kaedah berkenaan juga tidak lagi dipraktikkan di Malaysia. Penulis fikir rombongan sedemikian itu lebih bermanfaat daripada membawa para pelajar pergi berkelah di pantai dan air terjun yang berisiko tinggi kemungkinan berlaku kemalangan, apatah lagi terlalu sedikit ilmu pengetahuan yang diperolehi. Memang tidak dinafikan sistem pendidikan negara jiran juga mempunyai banyak kelemahan tetapi mungkin kita boleh mempelajari dan mengambil sedikit daripada aspek positif dalam sukatan pelajaran mereka bagi memantapkan sistem pendidikan negara.